TOPIK 1 : KENAPA SAYA MAHU MENJADI SEORANG GURU ATAU PENDIDIK DAN BAGAIMANA CARA SAYA HENDAK MENGUBAH PANDANGAN ORANG MENGENAI FALSAFAH PENIDIDIKAN.

             Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Kepada pembaca blog saya hari ini semua sihat? Alhamdulilah hendaknya kerana kita dapat bersua kembali walaupun hanya di alam maya sahaja. Jadi, hari ini saya ingin menjelaskan kenapa saya ingin menjadi seorang guru hehe. Sememangnya, dari kecil lagi cita-cita saya mahu menjadi seorang guru atau pendidik. Hal ini kerana, saya memang suka dengan cara guru saya mengajar dan menjadi seorang guru ini macam seronok je kan. Selepas umur saya meningkat ke remaja, cita-cita saya berubah dari menjadi seorang guru ke seorang pramugari haha memang tak sedar diri pendek masa tu. Saya rasa semua pernah mengalami perkara yang sama kan? Cita-cita kita akan sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, keputusan akhir saya adalah mahu menjadi seorang guru kerana perkerjaan seorang guru sangat mulia di sisi agama. Pengaruh terbesar saya hendak menjadi guru adalah guru kita sendiri semasa di sekolah. Hal ini kerana, perwatakan dan cara mereka mengajar telah mempengaruhi saya untuk menjadi seorang pendidik pada masa akan datang. Pekerjaan guru ini ibarat lilin yang membakar diri sendiri untuk menerangi kegelapan orang lain. Perkara ini menunjukkan untuk menjadi seorang guru atau pendidik bukanlah perkara yang senang.

            Sewaktu di sekolah, saya bukanlah seorang budak yang pandai atau pelajar top di kelas tapi saya memang rajin berusaha untuk memperolehi sesuatu yang saya inginkan. Jadi saya berusaha untuk menjadi seorang yang dapat mencapai cita-cita yang diimpikan. Untuk menjadi seorang guru bukanlah senang yang kita dibayangkan tau, apatah lagi menjadi seorang guru abad ke 21 kini yang memerlukan banyak kesabaran dan kecekalan hati untuk mendidik anak bangsa. Saya juga memilih menjadi seorang guru kerana ingin memenuhi harapan keluarga agar saya menjadi seorang pendidik pada suatu hari kelak. Hal ini kerana, dalam ahli keluarga saya tidak mempunyai kerjaya seorang guru. Oleh itu, ibu dan ayah saya berharap agar anak-anaknya akan menjadi seorang guru dan dapat membanggakan kedua orang ibu dan ayah. Alhamdulilah, syukur kepada Allah S.W.T kerana saya dapat menjadi seorang guru dan dapat memenuhi harapan keluarga saya. Semua boleh nampak tak, doa ibu bapa yang tidak pernah jemu mendoakan kejayaan anak-anak dan restu  dari mereka seiring juga dengan usaha saya sendiri tidak ada benda yang mustahil didalam dunia ini. Bak kata pepatah Melayu, dimana ada kemahuan di situ ada jalan.

              Profesion sebagai guru bagi saya sangat bagus untuk diri saya kerana menjadi seorang guru dapat mengajar saya untuk lebih menjadi seorang yang penyabar dan tabah. Selain itu juga, menjadi seorang guru dapat melahirkan anak-anak bangsa yang berilmu pengetahuan dan berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jadi jelaslah bahawa menjadi seorang guru amatlah mulia disisi agama dan saya juga menyedari bahawa besarnya ganjaran pahala menjadi orang berilmu dan menyebarkan ilmu kepada orang lain. Saya yakin mesti ada dikalangan pembaca blog saya yang ingin menjadi seorang guru, saya berdoa agar impian dan harapan kamu semua akan menjadi kenyataan, aamiin. Untuk menjadi seorang guru bukan hanya mengajar pada awal pagi sehingga petang dan selepas itu boleh pulang ke rumah dan bersenang-lenang, hal yang berikut amat salah sama sekali. Malah menjadi seorang guru memikul tanggungjawab lebih besar lagi iaitu memastikan anak didik faham apa yang disampaikan guru di sekolah dan boleh mempraktikannya di rumah. 

               Untuk menjadi seorang guru atau seseorang yang berjaya haruslah mempunyai falsafah pendidikan dalam hidup. Tujuan mempelajari falsafah adalah untuk memberi pandangan hidup kepada manusia serta memberi peluang berfikir yang mana baik atau yang mana buruk. Sudah pasti ada di kalangan pembaca blog saya fikir mempelajari falsafah ini akan merasa bosan dan sukar untuk difahami. Jawapannya tidak sama sekali, kerana dengan mempunyai falsafah kita dapat berfikir dengan lebih baik untuk diri kita, keluarga, masyarakat dan negara. Sejujurnya, sebelum ini pandangan saya sebelum mempelajari falsafah pendidikan adalah sama dengan anda semua, namun selepas mempelajarinya dengan lebih mendalam saya mula jatuh cinta dengan falsafah pendidikan. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, mempelajari falsafah amat seronok dan sangat berguna untuk kehidupan yang lebih baik.

         Saya berharap agar ada dikalangan pembaca blog saya dapat mengambil sedikit sebanyak ilmu yang saya kongsikan pada hari ini dan dapat dijadikan motivasi kepada adik-adik saya di luar sana yang handak menjadi seorang guru atau pendidik. Jika ada lagi yang masih tiada mempunyai cita-cita, saya nasihatkan kepada anak-anak muda di luar supaya segera mempunyai cita-cita agar dapat mencapai matlamat dalam hidup. Sekiranya tiada cita-cita yang ingin dicapai, hidup kita ibarat tidak bernyawa kerana cita-cita amat penting untuk menentukan apa yang kita ingin jadi pada masa akan datang. Proses untuk meraih cita-cita itu ada kalanya akan menemui beban yang berat namun janganlah berputus asa kerana ianya akan membuahkan hasil yang sangat lumayan kepada diri kita sendiri. Cita-cita itu bukan seberapa tinggi dan seberapa besar tapi tentang seberapa besar keinginan kamu untuk meraihnya. Selain usaha yang berterusan, kita juga harus berserah kepada tuhan kerana kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan.

             Jadi, itu sahaja daripada saya pada hari ini. Saya berharap agar semua pembaca blog saya akan dapat mencapai cita-cita yang diinginkan, aamiin. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang daripada diri saya sendiri. Ingat tau, kita semua mesti berhati-hati apabila keluar kerana kita masih belum menang lagi untuk menangani Covid-19 ini, kita jaga kita okay? Assalamualaikum dan jaga diri semua.💜


        

Catatan popular daripada blog ini

TOPIK 2 : SIAPA GURU TERBAIK YANG ANDA PERNAH TAHU? APAKAH KUALITI YANG BERKAITAN DENGAN FALSAFAH YANG MEMBUAT ORANG INI SEORANG GURU YANG HEBAT?

TENTANG DIRI SAYA