TOPIK 2 : SIAPA GURU TERBAIK YANG ANDA PERNAH TAHU? APAKAH KUALITI YANG BERKAITAN DENGAN FALSAFAH YANG MEMBUAT ORANG INI SEORANG GURU YANG HEBAT?




        Assalamualailaikum dan salam sejahtera pembaca blog sekalian. Semua sihat? syukur alhamdulilah sekiranya sihat dan yang tidak sihat dinasihatkan untuk berehat dan memakan ubat secepat mungkin kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Baiklah, bertemu kembali kita dalam blog saya pada hari ini. Sebelum kita mulakan, saya ingin bertanya kepada kalian semua, adakah kalian mempunyai guru idola ataupun guru kesukaan semasa di bangku sekolah? Sudah pasti setiap orang mempunyai guru idola masing-masing. Begitu juga dengan saya, saya mempunyai guru idola yang saya sangat kagum kerana beliau adalah guru yang hebat dan saya berhasrat ingin menjadi seperti beliau apabila sudah menjadi seorang pendidik pada masa akan datang. 

              Guru yang paling saya kagumi ialah  Puan Marina Binti Rahmad. Beliau telah mengajar saya selama empat tahun iaitu dari Tingkatan 4 sehingga Tingkatan 6 atas dalam subjek Bahasa Melayu.  Beliau berumur 38 tahun dan telah dianugerahkan guru terbaik subjek Bahasa Melayu sewaktu sambutan hari guru pada tahun lepas. Walaupun beliau masih muda, namun personaliti dan sikap profesional beliau dalam mengajar telah menarik minat saya untuk menjadikan beliau sebagai guru idola saya. Beliau adalah anak kelahiran Sarawak dan dibesarkan di Kampung Kabong, Sarawak. Sapaan cikgu Marina atau gelaran yang selalu kami panggil di luar sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu "Mamarina" tidak asing lagi kerana beliau sangat peramah dengan kesemua anak muridnya. Cikgu Marina telah menyambung pelajaran di peringkat Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia (USM) dan sekarang beliau sedang menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM). Saya sangat suka dengan cikgu Marina terutamanya kerana beliau mengamalkan sikap dan nilai yang perlu kita pelajari. Sebagai contoh, beliau seorang yang sangat baik hati. Walaupun demikian, beliau tetap tegas. Beliau juga seorang yang sangat prihatin kepada anak murid dan tidak terus menghukum apabila terdapat pelajar yang tidak menyiapkan tugasan yang diberikan. Beliau akan sedaya upaya untuk membantu pelajar yang kurang faham dan lemah dengan pembelajaran dengan menggunakan beberapa cara yang berkesan sehingga pelajar tersebut dapat memahami dengan baik.

          Cikgu Marina mempunyai dua falsafah barat yang saya kagumi iaitu falsafah tradisional idealisme dan falsafah moden pragmatisme. Falsafah tradisional adalah matlamat telah ditentukan terlebih dahulu oleh autoriti di luar dan manusia hanya mempunyai suara dalam mencapai maklamat tersebut manakala falsafah moden pula adalah manusia mempunyai suara dalam menentukan kedua-dua cara dan matlamat yang hendak dicapai. Dalam teori falsasah yang membentuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan terdapat 4 falsafah umum yang utama iaitu idealisme, realisme, pragmatisme dan eksistensialisme. Namun, guru idola saya mempunyai dua falsafah sahaja iaitu idealisme dan pragmatisme. Beliau seorang idealisme kerana mempunyai prinsip latihan akan perlu diberi perhatian. Contohnya beliau sering memberi latihan demi latihan kepada anak murid untuk memantapkan lagi pengetahuan dalam pembelajaran. Dari sudut metafizik pula orang idealisme akan memberi perhatian kepada roh dan jiwa seseorang. Hal ini jelas pada personaliti cikgu Marina kerana beliau sangat memberi perhatian kepada jiwa pelajar semasa sesi pengajara dan pembelajaran. Beliau selalu bertanya khabar kepada murid-murid atau bertanya tentang masalah yang dihadapi oleh murid dalam pembelajaran. Hal ini menunjukkan beliau sangat memberi perhatian kepada orang sekelilingnya dan menjadikan beliau seorang guru yang hebat. Manakala dari segi epistemologi pula iaitu latihan demi lathian dan cerita demi cerita, beliau akan sentiasa mengulang apa yang telah dipelajari agar anak murid akan sentiasa ingat dan dapat memahami sesuatu dengan lebih mendalam. Hal ini kerana beliau seorang yang sangat suka bercerita dan bercakap mengenai fakta yang betul dalam pembelajaran yang menyebabkan beliau sentiasa menjadi rujukan pelajar sekirannya menghadapi dalam pembelajaran dan akhir sekali dari sudut asiologi pula ialah nilai murni ialah tetap. Beliau sangat yakin nilai murni seseorang bergantung kepada apa yang telah ditetapkan oleh agama dan kitab. Sesungguhnya tidak ada agama atau kitab yang mengajar penganutnya untuk melakukan sesuatu yang tidak baik dan menerapkan nilai murni yang tidak baik. Oleh itu, setiap agama dan kitab mempunyai nilai murni yang tetap dan baik. Cikgu Marina telah menerapkan nilai-nilai murni yang baik kepada murid-murid contohnya sentiasa rajin dalam melakukan tugasan, sentiasa menghormati orang tua atau guru dan sentiasa berdisiplin dalam segala hal. Selain mempunyai falsafah barat idealisme dalam diri, beliau juga seorang yang pragmatisme. Prinsip utama pragmatisme adalah pengalaman menyelesaikan masalah. Hal ini dapat dilihat dalam diri beliau kerana beliau sudah berkhidmat dalam profesion perguruan dalam tempoh yang lama, oleh itu beliau mempunyai pengalaman yang sangat banyak untuk menjadikan beliau seorang guru yang berpengalaman luas. Contohnya beliau akan sentiasa bersedia sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran bermula dengan menyediakan pelbagai alat untuk mengajar dan latihan untuk diberikan kepada murid-murid. Beliau seorang yang akan belajar daripada pengalaman yang lalu untuk menjadi seorang guru yang dapat dijadikan contoh kepada anak muridnya. Dari sudut metafizik pragmatisme pula iaitu pengalaman manusia mengambarkan realiti adalah pengalaman yang lalu adalah realiti sebenar berlaku dalam kehidupan seseorang. Cikgu Marina sememangnya mempunyai pengalaman pahit dan manis semasa bergelar sebagai seorang pendidik kerana telah banyak bergaul dengan orang sekililing menyebabkan pengalaman yang diperolehi semakin tinggi. 

             Oleh itu beliau sentiasa bersedia dalam melakukan sesuatu kerana mempunyai pengalaman yang lepas yang dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada diri sendiri dan hal ini telah menyebabkan beliau dapat menjadi seorang guru yang sangat hebat. Beliau akan sentiasa menjadi guru idola saya kerana beliau seorang guru yang terbaik untuk dijadikan contoh. Bagaimana pula dengan kalian? Saya yakin semua mesti mempunyai guru idola yang dapat dijadikan contoh untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang. Justeru itu, kita harus belajar dengan lebih gigih supaya dapat mencapai cita-cita yang diimpikan dan dapat menjadi seorang yang dapat dicontohi oleh orang lain. Saya juga yakin semua orang dapat melakukan sesuatu dengan baik sekiranya mempunyai niat yang ikhlas. Baiklah, sampai disini sahaja mengenai guru idola saya, saya berharap anda juga dapat menceritakan siapa guru idola anda dan apakah sebab anda memilih guru tersebut sebagai guru idola. Sesunngguhnya yang baik itu datang daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datang daripada kekurangan diri saya sendiri. Saya ingin berterima kasih kepada anda semua kerana sentiasa menyokong saya dan sudi meluangkan masa untuk membaca blog saya. Assalamualaikum dan selamat tinggal semua. 💖

Catatan popular daripada blog ini

TENTANG DIRI SAYA

TOPIK 1 : KENAPA SAYA MAHU MENJADI SEORANG GURU ATAU PENDIDIK DAN BAGAIMANA CARA SAYA HENDAK MENGUBAH PANDANGAN ORANG MENGENAI FALSAFAH PENIDIDIKAN.