TOPIK 3 : RANCANGAN SAYA UNTUK MENJADI SEORANG GURU YANG BERFALSAFAH DAN BAGAIMANA CARA SAYA MENCAPAINYA?
Assalamualaikum dan hai pembaca blog saya sekalian. Bertemu kembali kita di ruangan maya pada kali ini hehe. Bagaimana kehidupan anda semua di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini? Adakah ianya seronok atau bosan di duduk dirumah sahaja? Saya harap kita dapat patuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan ye agar kita semua dapat menangani penularan Covid-19 yang sedang melanda negara kita bahkan di seluruh dunia sekarang ini. Pembaca blog saya jangan nakal-nakal tau duduk je dekat rumah dan manfaatkan masa anda untuk membaca blog saya hehe.
Pada kali ini saya akan menceritakan rancangan saya untuk menjadi seorang guru yang berfalsafah. Menjadi seorang guru yang berfalsafah amat penting, hal ini kerana untuk mendidik anak murid agar dapat berjaya dalam pembelajaran. Jadi, sebagai seorang guru yang berfalsafah saya akan mengenal diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengajar anak murid. Saya mempunyai falsafah realisme dan pragmatisme dalam diri, oleh itu saya suka menepati masa, percaya kepada perkara yang boleh dilihat dan dipelajari dan mempercayai fakta yang betul. Ciri ini terdapat banyak dalam diri saya sebagai seorang yang realisme. Manakala, seorang yang pragmatisme pula adalah saya seorang yang suka belajar dan mengajar secara "hands-on" atau berasaskan aktiviti. Dengan cara ini saya lebih mudah memahami pembelajaran dan anak murid juga akan lebih faham. Selain itu, ciri individu yang pragmatisme pula adalah pengalaman mengambarkan realiti. Ini bermaksud seseorang yang telah mengalami pergalaman yang pahit ataupun manis akan mengambil iktibar ataupun motivasi daripada pengalaman tersebut untuk dijadikan persediaan pada masa akan datang. Sebagai seorang guru, falsafah pragmatisme dalam diri amat bagus kerana sering mempunyai persedian sebelum memulakan sesuatu.
Walaupun diri kita sebagai seorang yang realisme dan pragmatisme, sebagai seorang guru yang mempunyai falsafah harus juga belajar mengenai anak murid yang mempunyai falsafah yang berbeza daripada diri kita. Hal ini kerana, tidak semua orang mempunyai falsafah yang sama dan pandangan yang sama dengan diri kita. Terdapat juga anak murid yang mempunyai falsafah idealisme dan eksistensialisme, idealisme dan pragmatisme atau realisme dan eksistensialisme. Oleh itu, sebagai seorang guru haruslah merancang aktiviti yang berbeza iaitu bukan dari aliran falsafah kita sahaja. Rancangan untuk anak murid yang mempunyai falsafah idealisme dalam diri, seorang guru haruslah mengajar dengan memberi latihan demi latihan untuk mengasah kemahiran mereka. Selain itu juga, guru juga dapat mengadakan perbagai kuiz yang berulang kepada pelajar yang idealisme. Dengan cara ini pelajar yang idealisme juga akan dapat berinteraksi dengan baik di dalam kelas. Seterusnya rancangan saya untuk menjadi sebagai seorang pendidik kepada murid idealisme pada masa akan datang adalah mengadakan aktiviti mentor dan mentee. Mentoring boleh menjadi pengalaman yang berharga kepada mentor. Aktiviti sebegini dijalankan kerana pelajar yang mempunyai falsafah idealisme sering menjadi rujukan kepada rakan yang lain berkenaan dengan pembelajaran dan hal yang lain. Oleh itu, program mentor dan mentee ini amat sesuai dengan pelajar idealisme yang suka berfikir, bercerita dan mempunyai imaginasi yang tinggi. Pelajar yang idealisme dapat menjadi mentor kepada pelajar lain dengan membantu mengembangkan pengetahuan dan kemahiran mantee, bahkan sebagai seorang mentor juga dapat membina keyakinan diri. Program mentoring juga boleh meningkatkan hubungan kerjasama yang positif antara pelajar dengan pelajar. Program mentoring ini mengingatkan saya sewaktu saya masih bersekolah di sekolah rendah dahulu di mana saya menjadi seorang mentee kepada pelajar yang mahir dalam subjek matematik. Belajar bersama dengan mentor ini sangat seronok kerana kita dapat berinteraksi dengan lebih selesa dan senang bertanya kepada mentor sekiranya kita malu atau takut untuk bertanya kepada guru. Tugas seorang mentor adalah memastikan mentee mereka faham apa yang dah cikgu ajar didalam kelas dan menjelaskan dengan berulang-ulang dengan mentee sehingga mereka faham.
Rancangan saya untuk menjadi seorang guru yang berfalsafah dalam aliran eksistensialisme pula adalah mengadakan pertandingan seperti pidato, berpantun atau seumpanya kerana pelajar yang mempunyai falsafah eksistensialisme suka menonjolkan diri dan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk bercakap dihadapan khalayak ramai. Oleh itu, aktiviti seperti ini dapat menarik minat mereka dengan proses pembelajaran yang saya akan sampaikan. Gambar yang berikut merupakan aktiviti pidato dan pantun yang telah dijalankan di sekolah untuk memupuk sikap berani dalam diri pelajar.
Seterusnya, rancangan saya adalah menggalakan pelajar menyertai aktiviti kokurikulum seperti perkhemahan badan beruniform pengakap kerana pelajar yang memiliki falsafah eksistensialisme mempunyai sikap kepimpinan yang sangat dan bagus. Justeru itu dengan mengadakan dan menggalakan pelajar menyertai program perkhemahan, pelajar dapat menonjolkan kelebihan dan kemahiran mereka untuk menjadi seorang pemimpin. Sememangnya tugas sebagai seorang pemimpin ini adalah tugas yang besar dan perlu dipikul dengan penuh bertanggungjawab dan berani.
Selain itu, rancangan yang saya akan lakukan untuk menjadi seorang guru yang berfalsafaah pada masa akan datang ialah mengadakan lawatan ke kilang makanan ataupun restoran kepada pelajar saya kerana saya merupakan seorang yang memiliki falsafah pragmatisme dalam diri. Oleh itu, saya lebih mudah memahami pelajar saya yang mempunyai falsafah yang sama dengan diri saya. Pembelajaran secara amali ataupun "hands-on" lebih mudah difahami dan seronok. Dengan mengadakan lawatan ke kilang-kilang makanan ataupun pertandingan seperti pertandingan memasak, pelajar dapat memperolehi pengalaman yang akan mengambarkan realitti. Anda semua mesti tertanya-tanya kenapa saya ingin mengadakan lawatan ke kilang makanan, restoran dan ingin mengadakan pertandingan memasak kepada anak murid saya pada masa akan datang bukan? sudah tentulah kerana saya mengambil bidang katering di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam kursus pendidikan teknikal dan vokasianol (Katering). Saya sudah menceritakan latar belakang pendidikan saya di blog yang pertama, diharap semua sudi untuk membaca ya hehe. Baiklah, kembali kepada rancangan saya untuk menjadi seorang guru yang mempunyai falsafah pragmatisme pada masa akan datang, saya akan memberi pendedahan kepada pelajar saya tentang menu-menu makanan yang viral seperti "corndog" atau "vietnamese spring rolls" dan banyak lagi untuk dipelajari dan dipraktikalkan. Hal ini kerana, individu yang memiliki falsafah pragmatisme sukakan dan mengikuti perkara yang "trending". Oleh itu dengan cara ini dapat memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Untuk menjadi seorang guru yang mempunyai kualiti dan berfalsafah, falsafah pendidikan barat saja tidak cukup malah kita perlu mempunyai tiga aspek dalam falsafah pendidikan islam iaitu ta'lim, ta'dib dan tarbiyyah. Pendidikan islam adalah satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan islam berdasarkan al-Quran dan as-sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah S.W.T. Tarbiyyah ialah mengasuh, memelihara dan cara didikan guru kepada anak muridnya. Sebagai seorang guru berfalsafah haruslah mendidik anak muridnya dengan betul dari sesi agama. Hal ini kerana, guru memikul tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak bangsa supaya dapat menjadi insan yang berguna di dunia dan juga di akhirat. Guru akan mendidik pelajar dengan ta'dib iaitu mendidik dan membentuk dengan adab dan akhlak yang sempurna. Penerapan nilai-nilai agama dalam diri pelajar amat penting untuk membentuk pelajar menjadi manusia yang beriman, berilmu dan bertakwa. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilancarkan untuk mendidik anak murid, antaranya adalah mengadakan ceramah ilmu agama atau kerja amal untuk membantu golongan yang susah dapat menyedarkan pelajar betapa pentingnya keseimbangan ilmu dunia dan akhirat. Selain itu, ta'lim adalah pengajaran yang dapat dijadikan iktibar untuk diri sendiri. Kisah teladan nabi yang terdahulu dapat dijadikan pengajaran kepada anak murid dengan mempelajari sirah. Guru akan memainkan peranan penting untuk menerangkan dan menceritakan berdasarkan kitab al-Quran kepada anak murid. Maka jelaslah bahawa falsafah pendidikan islam juga penting dalam membentuk guru menjadi seorang pendidik yang berfalsafah.
Jadi, apakah kalian ingin menjadi seorang guru berfalsafah ataupun tidak? Sudah pasti ya, kerana menjadi seorang pendidik diibaratkan membakar dirinya sendiri untuk menerangi kehidupan orang lain malah pekerjaan sebagai seorang guru juga amat mulia. Pembaca blog saya sekalian dah mengantuk ke? Jika mengantuk boleh makan jajan sambil baca blog saya ni ye haha. Boleh saya minta satu permintaan kepada anda semua? saya mahu anda diluar sana yang sedang membaca blog saya sekarang ini untuk pejamkan mata untuk seketika dan bayangkan apa yang anda ingin jadi pada 5,10 atau 15 tahun akan datang? adakah anda ingin menjadi seorang pendidik, doktor, polis, pereka fesyen atau lain-lain kerjaya? Jika anda mempunyai cita-cita yang ingin anda capai suatu hari nanti, saya nak ucapkan semoga berjaya dan jangan pernah berputus asa untuk mencapai cita-cita yang diimpikan dan taniah juga diucapkan kepada yang sudah berjaya mencapai cita masing-masing. Sebagai seorang manusia, kita perlu mempunyai cita-cita untuk mengetahui hala tuju yang kita ingin jadi apabila sudah dewasa nanti. Sudah pastinya cita-cita tersebut dapat membanggakan kedua orang ibu bapa dan juga diri sendiri. Saya dah menetapkan cita-cita saya ingin menjadi seorang pendidik sewaktu saya masih di bangku sekolah lagi dan alhamdulilah kini cita-cita saya akan tercapai selepas saya tamat pengajian di UTHM. Baiklah, saya rasa sampai disini sahaja coretan saya pada kali ini, kalau panjang sangat nanti ada orang tertidur pulak kan haha. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Maha Pencipta dan segala kekurangan itu datangnya dari diri saya sendiri. Terima kasih kerana sudi membaca blog saya dan diharap anda semua selalu sihat dan sentiasa berhati-hati diluar sana. Sentiasa ingat, kita jaga kita okay? Disini saya ingin menyampaikan serangkap pantun untuk pembaca blog saya, diharap semua dapat baca ya hehe.
Buah kelapa buah pepaya,
Pagi makan berpesan pepaya,
Berjumpa lagi dengan saya,
Yang hadir jangan bosan ya.
Selamat tinggal dan assalamualaikum semua! 💖